LIVERPOOL – Liverpool akhirnya mengesahkan perpindahan penyerangnya, Darwin Nunez menyertai gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal dengan yuran dianggarkan bernilai €53 juta (RM261.64 juta).
Perpindahan tersebut secara tidak langsung bakal membolehkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali meneruskan minat mereka untuk mendapatkan penyerang Newcastle United, Alexander Isak.
“Sukacitanya Al-Hilal mengumumkan pembelian penyerang Uruguay, Darwin Nunez daripada Liverpool dengan kontrak selamat tiga tahun,” menurut kenyataan rasmi Al-Hilal.
Begitupun, Liverpool terpaksa menerima hakikat menjualnya dengan harga lebih rendah berbanding jumlah telah dibayar €75 juta (RM370.24 juta) ketika membelinya daripada Benfica tiga tahun lalu.
Secara keseluruhan, Nunez, 26, masih berupaya meledak 40 gol dalam 143 penampilan bersama Liverpool, namun kehilangan tempat dalam kesebelasan utama di bawah Jurgen Klopp dan pengendali sekarang, Arne Slot.
Kehadiran muka-muka baharu termasuk Hugo Ekitike dan Florian Wirtz dalam jendela perpindahan ketika ini secara tidak langsung membuatkan Nunez tiada dalam perancangan Liverpool.
Namun, Nunez diramal mampu menyinar bersama Al-Hilal yang kini dilimpahi pemain berprofil tinggi seperti Ruben Neves, Kalidou Koulibaly, Aleksandar Mitrovic, Joao Cancelo, Theo Hernandez, Sergej Milinkovic-Savic dan Yassine Bounou.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Simone Inzaghi itu akan melengkapkan aksi pramusim menentang kelab Switzerland, FC Aarau malam ini. – AGENSI