fbpx
Liyana percaya pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang untuk jadi lebih baik dan sempurna.

Liyana, si guru cantik berjiwa pendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bagi sesetengah orang, profesion keguruan mungkin hanyalah satu kerjaya untuk mencari rezeki. Namun bagi Nur Liyana Rostam, 28, guru muda berasal dari Seremban 2, Negeri Sembilan ini, menjadi pendidik adalah tanggungjawab untuk membentuk keyakinan diri terutama bagi generasi muda sepertinya.

Graduan Teaching English as a Second Language (TESL) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu kini sedang melangkah lebih jauh dalam bidang akademik dengan menyambung pengajian di pe­ringkat sarjana TESL di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menghia­si Pesona Ahad kali ini, Liyana mengakui mengajar bukan sekadar berdiri di hadapan kelas menyampaikan silibus, tetapi juga tentang memahami jiwa anak murid. Baginya, setiap pelajar berhak untuk didengar, dihargai dan diyakini potensi mereka.

KOSMO! AHAD: Kongsikan latar belakang diri anda?
LIYANA: Saya anak sulung daripada empat beradik. Kini mengajar di kampung halaman saya sendiri di Seremban 2. Saya sangat meminati bidang pendidikan sejak di universiti dan aktif berkongsi kandungan berkaitan pendidikan serta gaya hidup di media sosial. Saya percaya pendidikan bukan sekadar buku dan peperiksaan tetapi ia tentang membina manusia.

Apa yang mendorong anda memilih kerjaya sebagai seorang guru?
Saya percaya pendidikan ialah kunci kepada perubahan. Menjadi guru membolehkan saya menyentuh hati dan masa depan pelajar. Saya mahu pelajar rasa mereka dilihat, didengar, dan diyakini. Saya bukan sekadar ingin mengajar tetapi saya mahu beri mereka kekuatan untuk percaya diri.

Momen pertama sebagai seorang guru?
Ya, sangat jelas dalam ingatan. Saya gugup dan tak tahu apa yang bakal dihadapi. Tetapi senyuman pelajar dan sokongan rakan se­kerja beri saya keyakinan. Kini, selepas dua tahun mengajar, saya makin seronok dan yakin ini adalah jalan hidup saya.

Cabaran terbesar sebagai seorang guru muda?
Menangani pelajar dari latar belakang dan tahap kemam­puan yang berbeza adalah antara cabaran utama. Ia memerlukan kesabaran, kreativiti, dan konsistensi. Saya mengajar generasi yang sebaya dengan saya, Gen Z. Jadi saya rasa lebih terpanggil untuk bantu mereka bina keyakinan dan suara mereka sendiri.

Kalau bukan jadi cikgu, apa kerjaya anda sekarang?
Mungkin saya sudah buka sebuah kafe comel yang dipenuhi buku, atau jadi penulis sepenuh masa. Saya suka suasana tenang dengan muzik lembut, secawan matcha panas dan aroma buku yang menenangkan.

Matlamat utama anda sebagai seorang pendidik?
Saya tidak mahu murid saya hanya sekadar lulus peperiksaan. Saya mahu mereka rasa yakin, didengar dan dihargai. Bila suatu hari nanti mereka mampu berdiri sendiri dengan penuh keyakinan dan kebanggaan, saya tahu setiap usaha dan penat lelah saya sebagai pendidik benar-benar berbaloi.

Apa rutin yang anda lakukan untuk kekal positif?
Saya gemar mendengar muzik, menulis jurnal dan menikmati secawan matcha. Kadang-kadang selepas kelas, saya duduk sebentar dalam kereta, pasang lagu kegemaran dan tarik nafas dalam-dalam. Itulah masa reset saya. Momen ringkas ini membantu saya kekal tenang, positif dan fokus sepanjang hari.

Nasihat kepada mereka yang ingin jadi guru?
Jangan jadi cikgu kalau tiada minat mengajar. Ia bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu ama­nah besar yang menuntut kesabaran dan keikhlasan. Namun jika minat itu ada, walau sedikit, teruskanlah. Ia bukan jalan mudah, tetapi ladang pahala yang besar ganjarannya.

Tiga perkara menarik tentang anda?
Saya ada asas dalam bahasa isyarat, sesuatu yang saya belajar kerana minat berkomunikasi dengan pelbagai cara. Saya juga suka bau pen marker, entah kenapa, ia beri rasa nostalgia dan tenang. Tetapi, satu perkara yang saya kurang selesa ialah belon. Bunyi letupan belon buat saya rasa cemas dan tidak tenang.

Ciri-ciri lelaki idaman anda?
Saya suka lelaki yang tenang dan mampu menenangkan. Bukan jenis yang diam sebab tak ambil peduli, tapi yang tenang sebab dia tahu bagaimana hadapi saya. Dia tak cepat melatah bila saya mula bercakap laju, emosi tak tentu arah, atau bila fikiran saya mula melayang tak tentu hala. Terutama bila saya overthinking tentang semua benda dalam hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN