TEMERLOH – Seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai terkena sabit yang dibawanya di sebuah ladang sawit di Kampung Penderas, Kuala Krau di sini semalam.
Mangsa, Haniff Abu, 29, yang membawa galah sabit sawit dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal melalui kawasan ladang itu bersama bapanya.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh menerima panggilan daripada petugas perubatan mengenai kejadian itu pada pukul 11.32 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dan bapanya dalam perjalanan ke kebun sawit dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave dan bapa mangsa yang membonceng di belakang memikul sabit bergalah panjang di bahunya.
“Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan setelah melanggar busut menyebabkan kedua mereka terjatuh,”katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan, akibat kejadian itu, bilah sabit berkenaan telah terkena leher mangsa dan juga turut mencederakan pipi dan telinga kanan bapanya.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan sebelum dibawa Ke Hospital Sultan Haji Ahmah Shah (Hoshas), Temerloh untuk bedah siasat.- KOSMO! ONLINE