fbpx
IDZES menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Sassuolo daripada Venezia. - US SASSUOLO CALCIO

Kapten Indonesia pembelian termahal Sassuolo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EMILIA-ROMAGNA – Kapten Indonesia, Jay Idzes meneruskan kariernya di pentas tertinggi Itali dalam saingan Serie A apabila diumumkan sebagai bintang baharu Sassuolo.

Sassuolo mengumumkan kehadiran tonggak pertahanan tengah itu yang menandatangani kontrak empat tahun sehingga Jun 2029 sebelum aksi pramusim menentang kelab Perancis, Brest semalam.

Menariknya, Idzes, 25, menjadi pembelian termahal Sassuolo dalam jendela perpindahan musim panas ini selepas membayar Venezia sebanyak €8 juta (RM39.49 juta) termasuk tambahan bonus €500,000 (RM2.46 juta).

Skuad bimbingan Fabio Grosso itu berjaya menewaskan satu lagi pencabar Serie A, Torino yang turut berminat mendapatkan khidmat pemain berketinggian 1.90 meter tersebut.

Ia menjadikannya sebagai pembelian kelima Sassuolo ketika ini selepas Tarik Muharemovic yang dibeli secara tetap daripada Juventus dengan harga €3 juta (RM14.81 juta).

Tiga lagi pemain yang disambar Sassuolo adalah menerusi perjanjian pinjaman iaitu Ismael Kone (Marseille), Alieu Fadera (Como) dan Sebastian Walukiewicz (Torino).

Ini bakal menjadikan musim kedua Idzes dalam kancah Serie A selepas dia membuat 35 penampilan liga termasuk satu gol bersama Venezia musim lalu.

Bekas pemain Go Ahead Eagles dan Eindhoven berpeluang membuat debut bersama Sassuolo menentang Catanzaro pada pusingan pertama Piala Coppa, Sabtu ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI