KOTA BHARU – Dua beradik tiri yang merupakan anak kepada seorang doktor klinik swasta dicekup polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 35 kilogram (kg) bernilai RM299,590 dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Kampung But, Ketereh di sini pada Selasa lalu.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 16 butir peluru.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu kepada kedua-dua suspek berkenaan.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua lelaki yang merupakan adik-beradik tiri positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Siasatan awal mendapati, mereka menjadikan rumah tersebut sebagai transit sebelum mengedarkan dadah tersebut kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Kedua-dua suspek dipercayai sudah aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lalu. Sebelum ini, kegiatan tersebut dilakukan oleh rakan mereka yang ketika ini sedang menjalani hukuman di penjara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita dua buah kereta mewah, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Katanya, kesemua dadah itu dipercayai diseludup ke Kelantan melalui pangkalan haram di kawasan Sungai Golok.
“Kesemua dadah ini dipercayai untuk dijual di negeri-negeri di Pantai Barat dan ia boleh diedar kepada 35,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.
Menurutnya, dua beradik dan ibu mereka direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE