KUALA LUMPUR – Sentiasa mengikuti perkembangan permata hati di sekolah, pelakon dan pengacara Amyra Rosli meminta ibu bapa memantau tingkah laku anak masing-masing dalam pada kes buli kian meruncing sekarang.
Amyra atau nama lengkapnya Nur Amira Izzati Rosli, 33, berkata, gejala ini berlaku apabila ada dalam kalangan ibu bapa tidak menyedari anak mereka dibuli atau menjadi pembuli rakan.
“Ibu bapa kena cakna. Perlu kerap berbual dengan anak mengenai aktiviti harian di sekolah. Saya juga kerap bertanyakan tentang keadaan anak kepada guru.
“Ini untuk pemantauan bagi mana-mana situasi dengan berpesan jangan ganggu kawan, membuli atau kalau dibuli kita kena jelaskan kepada mereka tindakan yang perlu diambil.
“Ibu bapa pun jangan ambil ringan kalau anak-anak mengadu. Jumpa cikgu kalau gangguan berterusan,” katanya pada majlis pelancaran wajah baharu butik Amber di Wangsa Walk, baru-baru ini.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu bersyukur apabila kedua-dua permata hatinya belum pernah berdepan situasi kurang menyenangkan sebegitu.
“Alhamdulillah, anak-anak saya tidak pernah diancam dengan perkara sebegitu walaupun mereka ‘introvert’. Kadangkala terdetik kebimbangan tetapi takut untuk melepaskan anak-anak ke sekolah kerana buli itu mungkin tidak.
“Cuma sebagai ibu hati saya turut tersentuh dengan kes-kes buli yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa anak kecil tidak berdosa seperti berlaku pada Allahyarham Zara Qairina,” ujarnya.
Pelakon drama Sekam Dalam Dada itu turut berpendapat, kesedaran tentang isu itu perlu diterapkan sejak awal peringkat sekolah menerusi program khas.
“Pandangan saya, pihak kementerian berkaitan serta sekolah perlu
tingkatkan kesedaran dan ajar anak-anak kita cara melindungi diri mereka,” katanya.
Isteri kepada aktor Amar Baharin juga mendedahkan dia dan suami mengehadkan penggunaan gajet terhadap anak-anaknya supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan perkara negatif di media sosial.
“Memang kami pantau kerana di laman sosial ada kandungan yang membahayakan dan tidak sepatutnya ditonton kanak-kanak.
“Mereka boleh ‘pegang’ gajet hanya sejam sehari iaitu selepas balik sekolah. Kita bagi pelepasan sekejap dengan menonton program kegemaran selain bermain di luar rumah.
Terdahulu, rumah tangga Amyra dan Amar yang dibina pada 11 November 2016 diserikan sepasang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi Amar, 8 dan Aura Aryssa, 5. – KOSMO! ONLINE