fbpx
Shahlan ditemui media di pekarangan Jabatan Forensik HQE, malam ini. -Foto IVAN AMIRUL

Bedah siasat Zara Qairina lancar, tunggu laporan forensik – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Peguam, Shahlan Jufri menegaskan proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Shahlan yang menyaksikan proses itu di atas permintaan keluarga arwah berkata, beliau melihat sendiri prosedur berkenaan dari mula hingga akhir sekitar pukul 7.30 malam tadi.

“Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu. Semua itu tiada.

“Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai. Di dalam bilik forensik, doktor-doktor itu saya tengok macam mana dia (jenazah arwah) diperiksa secara menyeluruh.

“Beberapa orang anggota polis juga masuk, tetapi yang masuk ke dalam bilik bedah hanya saya dengan pasukan forensik. Sebab memang itu keinginan keluarga arwah Zara.

“Saya berada di situ dari pukul 11 pagi sampai pukul 7.30 malam tadi,” katanya ditemui media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) malam ini.

Mengulas lanjut, Shahlan menyatakan proses bedah siasat jenazah arwah Zara dijalankan empat orang pakar termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun selain dibantu jurufoto forensik dan jurufoto polis.

Menurut Shahlan sejurus bedah siasat siap, laporan akan disediakan oleh pasukan forensik dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.

Ditanya berapa lama masa diambil untuk menyiapkan laporan terbabit, beliau berkata perkara itu tidak dapat ditentukan dengan tepat namun paling lewat boleh sampai dua bulan.

“Kalau tanya proses itu berapa lama, saya tidak tahu dengan tepat. Biasanya paling cepat atau paling minimum mungkin dalam tempoh tertentu tetapi paling lambat mungkin dua bulan.

“Hal ini kerana ia melibatkan beberapa orang pakar dan semua pakar ini akan berbincang sebelum memuktamadkan post-mortem report itu,” katanya.

Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di HQE pada pukul 10.30 malam Sabtu selepas selesai digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada pukul 7.31 malam.

Jenazah Zara dibawa ke Jabatan Radiologi untuk imbasan CT sebelum disimpan di Jabatan Perubatan Forensik.

Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di IPD Papar tengah hari Sabtu.

Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI