KUALA LUMPUR – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan rakan sepasukan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menutup kempen 100 meter (m) Terbuka India dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas serta gangsa di Stadium Kalinga, Bhunaneswar sebentar tadi.
Azeem yang layak ke final selepas menjuarai saringan kedua dengan masa 10.48 saat (s), mempamerkan larian bertenaga untuk memintas pencabar dan meraih kedudukan pertama dengan catatan 10.35s.
Danish yang turut mara selepas menamatkan saringan sama di tempat ketiga dengan masa 10.64s, memperbaiki prestasi dalam perlumbaan akhir untuk meraih tempat ketiga dan pingat gangsa dengan catatan 10.50s.
Tempat kedua menjadi milik pelari Sri Lanka, Chamod M. Yodhasing yang merekodkan masa 10.43s, manakala beberapa pelari pilihan tuan rumah termasuk Harsh Santosh Raut terpaksa akur di luar kelompok podium.
Sebelum berlepas ke India, Azeem menetapkan misi membawa pulang keputusan terbaik buat negara sambil mengintai peluang memperbaharui catatan musim ini dan mencipta rekod peribadi baharu.
Meskipun tidak merakam rekod peribadi baharu mahupun catatan tahunan terbaik, hasratnya sekurang-kurangnya untuk meraih kedudukan podium tercapai.
Kejayaan berganda itu menjadi suntikan moral buat skuad pecut negara menjelang siri perlumbaan antarabangsa seterusnya, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia di pentas olahraga Asia. – KOSMO! ONLINE