KOTA BHARU – Tiga wanita yang merupakan peserta Program Madani Rakyat cedera apabila jeti bot di Tambatan Diraja di sini runtuh sebelum mereka sempat melakukan aktiviti menyusuri Sungai Kelantan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul pukul 4.53 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dibawa ke hospital selepas diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada di lokasi tersebut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mahussin Hassan berkata, lebih 10 peserta Program Madani Rakyat berada di jeti berkenaan menunggu untuk menaiki bot bagi menyusur Sungai Kelantan sebelum ia tiba-tiba runtuh dan kesemua peserta jatuh ke dalam sungai.
“Mangsa yang terlibat dapat diselamatkan, namun tiga daripada mereka cedera sebelum mereka dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans. Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati semua mangsa telah diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE