fbpx
Dua pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Chan Sow Lin, di sini diserbu polis awal pagi tadi.

Tiga ditahan, dua pusat hiburan tanpa lesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh diberkas dalam serbuan di dua pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Chan Sow Lin, di sini awal pagi tadi.

Serbuan bermula pukul 1.21 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usop Jan Mohamad berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan dan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh.

“Siasatan mendapati premis terbabit menggaji pekerja asing tanpa permit sah serta menyalahgunakan permit sedia ada.

“Lelaki tempatan itu sudah setahun bekerja dengan gaji RM3,400 sebulan, manakala pekerja warga Bangladesh menerima upah RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1963/69 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1956/69.

Mohamed Usop berkata, dalam serbuan kedua pada pukul 1.24 pagi di premis berasingan di kawasan sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis turut diberkas.

“Pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen sah. Polis turut merampas peralatan pusat hiburan, lima botol minuman pelbagai jenama serta resit perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat hiburan tersebut beroperasi dari pukul 9 malam hingga 2 pagi.

“Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1953 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI