KUALA LUMPUR – Kilauan pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Dunia 2025 di Chengdu, China akhirnya menjelma selepas ratu wushu negara, Tan Cheong Min memenangi acara Nanquan-Nandao.
Pada saingan yang berlangsung di Chengdu Hi-Tech Zone hari ini, atlet berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi cukup baik bagi mengumpul 19.479 mata keseluruhan mengalahkan Darya Latisheva (19.433 mata) dari Uzbekistan dan wakil Singapura, Kassandra Ong (19.386 mata).
Kemenangan itu cukup bermakna buat Cheong Min memandangkan ini adalah kali pertama dia menyertai temasya sukan tersebut selain gembira dengan sokongan yang diberikan penonton sepanjang saingan berlangsung.
“Ini kali pertama saya datang ke Chengdu dan sudah tentu saya sangat menikmatinya. Apabila masuk ke dalam gelanggang, saya dapat lihat semua penonton memberikan sepenuh tumpuan hingga membuatkan saya mahu tampilkan aksi terbaik.
“Terima kasih kepada kepada Persekutuan Wushu Antarabangsa, Persekutuan Wushu Malaysia, presiden serta jurulatih kerana atas bimbingan mereka, kami berpeluang datang ke sini,” kata juara dunia dua kali itu.
Pingat emas itu mampu menyuntik semangat Cheong Min bagi memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini, lebih-lebih lagi dia berdepan cabaran cukup besar sepanjang saingan 2025.
Lebih manis, pada hari pembukaan semalam, Sydney Chin turut menyumbang pingat buat Malaysia apabila memenangi gangsa menerusi disiplin taijiquan-taijijian selepas mengutip 19.410 mata.
Pingat emas acara itu menjadi milik atlet tuan rumah, Lu Zhuoling yang mengutip 19.522 mata keseluruhan manakala perak dimenangi Zeanne Law dari Singapura selepas mengumpul 19.430 mata.
Sebagai rekod, Sukan Dunia merupakan temasya yang menganjurkan pelbagai jenis sukan serta disiplin yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. – KOSMO! ONLINE