KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau projek penanaman padi di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Mulong di sini.
Beliau tiba kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad sebelum mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek berkenaan.
Perdana Menteri kemudian menandatangani plak pelaksanaan projek sebelum berjalan kaki ke kawasan sawah bagi meninjau sendiri kaedah penanaman tersebut.
Kaedah penanaman itu termasuk penggunaan sistem solar bagi pengairan dan saliran selain penerapan teknologi moden dalam mengusahakan 8.49 hektar padi organik yang kini memasuki musim penanaman kelima.
Perdana Menteri meluangkan kira-kira 30 minit meninjau lokasi sebelum beredar pada pukul 11.45 pagi untuk menghadiri program seterusnya.
Desa Gemalai Baruh Padi Alami yang diusahakan oleh Mohd. Yusri Mohamad Nor sejak 2023 mengamalkan pertanian mesra alam tanpa baja dan racun kimia.
Projek itu mencapai purata hasil sekitar lima metrik tan sehektar dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Kada. – KOSMO! ONLINE














