KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 28.5 Jalan Kulai – Kota Tinggi malam tadi.
Mangsa, Mohd. Norfahmi Sarihat, 38 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan motosikal jenis Suzuki Smash Revo, Yamaha Y16ZR dan motosikal jenis Honda RS150.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Y16ZR dari arah Kulai menghala ke arah Kota Tinggi telah melanggar belakang Suzuki Smash Revo SD yang berada di hadapannya di laluan sama.
“Ekoran itu penunggang Yamaha Y16ZR telah tercampak di tengah jalan dan digilis oleh motosikal Honda RS150 dari arah laluan sama yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan prosedur siasatan.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE