fbpx
Jabatan Imigresen Malaysia

Pasangan rugi RM5,000 gara-gara terpedaya helah ‘Datuk’ bebaskan adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan kononnya terdapat individu bergelar ‘Datuk’ yang mampu menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau ePass bagi membebaskan tahanan di Depot Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penafian itu dibuat susulan penularan sebuah video di media sosial pada Khamis lalu yang memaparkan pertemuan sepasang suami isteri bersama pemilik akaun berkenaan mengenai dakwaan tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan rakaman video itu, pasangan berkenaan mendakwa telah membuat bayaran RM5,000 kepada seorang ‘Datuk’ bagi mendapatkan PLKS untuk melepaskan adik mereka yang sedang ditahan.

“Walaupun bayaran dibuat dan imbasan kod QR pada permit kerja itu wujud dalam sistem, tahanan tersebut masih belum dibebaskan seperti dijanjikan, malah janji kononnya boleh dilepaskan di mahkamah juga tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal JIM mendapati ePass yang didakwa itu disyaki palsu kerana kod QR telah diubah suai.

Katanya, semakan silang menerusi sistem MyIMMs menggunakan nombor pasport juga mengesahkan tiada sebarang rekod PLKS.

“Kesemua urusan imigresen hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi sama ada di kaunter jabatan atau secara dalam talian di portal rasmi. Tiada pegawai atau pihak ketiga dibenarkan menguruskan permohonan di luar prosedur,” ujarnya.

Sehubungan itu, JIM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik jabatan atau memperdaya orang awam.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca penyalahgunaan maklumat dan memastikan tindakan undang-undang diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI