ZURICH – Selepas dua kali menjadi pemenang, penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez sekali lagi berpeluang merangkul Trofi Yashin, sekali gus memenangi anugerah itu buat kali ketiga berturut-turut.
Meskipun mengharungi musim tidak seperti diharapkan bersama Villa sepanjang kempen 2024/25, namun Martinez masih mampu berada dalam senarai 10 calon bagi merebut anugerah penjaga gol terbaik pada malam gala Ballon d’Or di Paris, Perancis bulan depan.
Pencalonan tersebut jelas membuktikan bahawa penjaga gol berusia 33 tahun itu masih mendapat pengiktirafan meskipun Villa dikatakan sedang mencari pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, hasrat Martinez untuk melakar kemenangan hatrik tampak sukar memandangkan sembilan calon lain bukan calang-calang pemain kerana turut terdiri daripada penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma.
Atas kertas, Donnarumma dianggap sebagai pilihan kerana sudah membantu PSG meraih gelaran quadruple dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Ligue 1, Piala Perancis dan Trofi Juara-Juara Perancis.
Pada masa sama, penjaga gawang utama Itali itu turut tersenarai dalam anugerah utama, Ballon d’Or di mana dia berada di kedudukan keempat, di belakang Ousmane Dembele, Lamine Yamal dan Raphinha.
Melengkapkan senarai adalah penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, Yassine Bounou (Al Hilal), Lucas Chevalier (Lille), Thibaut Courtois (Real Madrid), Jan Oblak (Atletico Madrid), David Raya (Arsenal), Matz Sels (Nottingham Forest) dan Yann Sommer (Inter Milan).
Sementara itu, pengendali PSG, Luis Enrique, Antonio Conte (Napoli), Hansi Flick (Barcelona), Enzo Maresca (Chelsea) dan Arne Slot (Liverpool) tercalon untuk Trofi Johan Cruyff selaku jurulatih terbaik. – AGENSI