PETALING JAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi mengesan seorang kru warga Turkiye yang masih hilang di perairan Pulau Yu, Terengganu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi tersebut dimulakan semula selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri, semalam.
“Mangsa, Eser Demirkol, merupakan seorang daripada tiga kru kapal layar Daisy yang karam pada 31 Julai lalu dengan dua kru lain telah ditemui.
“Sebelum ini, operasi pencarian dijalankan selama tujuh hari meliputi kawasan seluas 457.61 batu nautika persegi, membabitkan aset laut, udara serta penyelam Special Tasks and Rescue Team (Star Team) dengan bantuan Remotely Operated Vehicle (ROV),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, operasi tersebut ditamatkan pada Rabu lalu selepas tiada penemuan baharu.
“Operasi kali ini memberi tumpuan di antara lokasi kapal karam dengan lokasi penemuan mangsa kedua, menggunakan aset laut dan udara Maritim Malaysia bagi mengoptimumkan liputan pencarian.
“Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi Carilamat ini dan akan berusaha sedaya upaya sehingga menemui petunjuk positif mangsa tersebut,” katanya.
Tambahnya, orang ramai khususnya komuniti maritim, diminta melaporkan sebarang petunjuk berkaitan mangsa dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di 03-89413140 yang beroperasi 24 jam. – KOSMO! ONLINE