MANCHESTER – Manchester City dilaporkan menyertai perlumbaan dalam perebutan mendapatkan bintang tengah Brighton, Carlos Baleba yang kini bernilai mencecah £104 juta (RM589 juta).
Sebelum ini, Manchester United dikatakan sudah menghubungi Brighton menerusi perantara bagi mengetahui syarat perpindahan pemain Cameroon itu yang menjadi sasaran utama untuk mengisi posisi nombor enam.
Brighton pada awalnya menetapkan harga £90 juta (RM509 juta), namun laporan terkini mendedahkan mereka kini menuntut £104 juta (RM589 juta) bagi melepaskan pemain berusia 21 tahun tersebut.
City turut berminat dan Pep Guardiola dilapor sudah lama memantau perkembangan Baleba, tetapi Brighton bertegas mahu mengekalkannya sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi ketika dia memiliki kontrak sehingga 2028.
United ketika ini tidak memiliki dana mencukupi dan hanya menilai Baleba sekitar £70 juta (RM396 juta), namun penjualan pemain seperti Alejandro Garnacho, Antony dan Jadon Sancho berpotensi membuka ruang untuk bidaan rasmi.
Sejak dibeli dari Lille pada 2023, Baleba sudah membuat 77 penampilan dan dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Brighton musim lalu hasil prestasi konsisten di Liga Perdana Inggeris (EPL). – AGENSI