fbpx
SUSU getah dipindahkan dari lori tangki ke tangki IBC berkapasiti 1,000kg menggunakan hos paip ketika serbuan di jalankan di sebuah premis di Kamunting, Taiping semalam.

Lima lelaki diberkas terlibat aktiviti seleweng susu getah 900kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan lima lelaki termasuk seorang warga Pakistan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan susu getah di sebuah premis di Kamunting, semalam.

Operasi penguatkuasaan melalui Op Intra bermula pukul 2.30 pagi hingga 6 petang itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pasukan operasi telah mengekori sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah dari Kedah sehingga ke satu premis di Kamunting.

“Di premis itu, proses pemindahan susu getah dilakukan oleh suspek dengan cara memindahkan susu getah menggunakan hos paip masuk ke tangki IBC berkapasiti 1,000 kilogram (kg).

“Pemeriksaan mendapati, suspek iaitu pemandu lori tangki telah menjual 900kg susu getah dan menggunakan muslihat menggantikan berat susu getah yang telah dijual dengan meletakkan beberapa unit pemberat di badan kenderaan.

“Tindakan itu dilakukan supaya pelanggan yang akan menerima susu getah tersebut tidak akan menyedari berat kandungan susu getah yang sudah berkurangan semasa proses timbang semula dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi itu membawa kepada penahanan lima individu berusia 32 hingga 59 tahun dan merampas susu getah seberat 35,400kg.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menyita sebuah lori tangki, pelbagai jenis jentera dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan susu getah dan dua unit telefon bimbit dengan anggaran rampasan berjumlah RM789,132.04.

“Siasatan mendapati seorang lelaki warga Pakistan melanggar syarat permit kerja di bawah Peraturan-Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan.

“Empat lagi suspek dan barang rampasan pula diserahkan kepada LGM untuk siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan dan Permit) 2014,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1)(a) dan Peraturan 7(1)(f). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI