fbpx
Saifuddin Nasution.

Kubur Zara Qairina akan digali secepat mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Proses menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijalankan secepat mungkin bagi melengkapkan kertas siasatan dan bedah siasat berhubung kes kematian pelajar itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan prosedur berkenaan dibuat selepas menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang
memutuskan terdapat keperluan bagi proses tersebut dijalankan.

“Pihak polis telah menghantar kertas siasatan kepada AGC. Selang beberapa hari, AGC telah mengeluarkan arahan bahawa terdapat keperluan untuk kuburnya digali semula bagi melengkapkan dan mengukuhkan lagi kertas siasatan.

“Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail telah diberi taklimat mengenai arahan tersebut pagi tadi sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan prosedur seterusnya,”katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang, Machang di sini hari ini.

Saifuddin memberitahu, polis akan segera berhubung dengan pihak majistret dan bekerjasama dengan pakar-pakar forensik bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Menurutnya, fokus utama pihak polis adalah untuk mengemas kini kertas siasatan dan mengumpul semua bukti yang diperlukan bagi menjalankan tugas itu.

“Polis tidak akan berkompromi dalam soal prinsip keadilan demi memastikan semua pihak yang terlibat termasuk sekolah, guru dan rakan-rakan mangsa diberi keadilan sewajarnya,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan, dalam usaha melengkapkan siasatan berhubung kematian kanak-kanak tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI