PADANG BESAR – Seorang pemandu van sebuah syarikat kurier mendakwa tidak menyangka kotak barangan kosmetik yang dibawa sebenarnya mengandungi rokok elektronik ketika ditahan di sini, semalam.
Lelaki terbabit ditahan Kompeni A Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di Sekatan Jalan Raya (SJR) Padang Besar Kilometer 27.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, suspek yang memandu van ditahan kerana disyaki membawa rokok elektronik tanpa sebarang dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati van tersebut membawa lapan kotak rokok elektronik untuk dihantar ke sebuah rumah di Taman Kim, Padang Besar,” katanya di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat hasil siasatan awal, pasukan menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penyewa rumah.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, anggota menjumpai 28 kotak rokok elektronik tanpa sebarang dokumen sah.
“Suspek ditahan dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Jelasnya, kedua-dua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 25 dan 55 tahun.
“Kita bertindak merampas van jenis Foton serta 2,400 karton rokok elektronik dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 916,000,” katanya.
Menurutnya, jumlah rampasan rokok elektronik adalah sebanyak 480,000 unit bernilai RM816,000.
Katanya, hasil soal siasat, suspek pemandu van hanya menghantar barangan menggunakan van ke alamat yang diterima dengan barangan itu dimaklumkan sebagai kosmetik.
“Barangan itu didakwa dikirim dari individu lain dari Kuala Lumpur. Bagi suspek penyewa rumah pula, rokok elektronik didakwa diperoleh dari pembekal di Kuala Lumpur.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti rokok elektronik tanpa dokumen sah di Padang Besar dengan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE