LEIPZIG – Penyerang antarabangsa Slovenia, Benjamin Sesko telah berkorban dengan menerima gaji lebih rendah demi memastikan penghijrahan ke Manchester United dapat berjalan lancar.
Perkara itu didedahkan oleh wartawan Jerman, Florian Plettenberg yang menyifatkan pemain Red Bull Leipzig berusia 22 tahun itu memberi keutamaan penuh untuk menyertai The Red Devils berbanding pasukan lain.
Kata Plettenberg, khidmat Sesko turut diburu oleh satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United yang sedia untuk menawarkan gaji lebih tinggi.
“Ketika perbincangan masih lagi berlaku di ibu pejabat Leipzig dengan United giat melakukan tawaran, manakala wakil Newcastle sedang bersedia untuk memberikan bidaan yang lebih tinggi jika diberikan peluang.
“Namun, Sesko menyatakan jiwanya hanya mahu berhijrah ke United dan bersetuju dengan apa sahaja terma yang ditetapkan oleh pengurusan kelab.
“Lebih menarik, Sesko sanggup menerima gaji yang lebih rendah untuk berada di Old Trafford berbanding apa yang ditawarkan oleh Newcastle, malah terpaksa berkongsi komisyen yang tinggi dengan ejen peribadinya, Elvis Basanovic.
“Difahamkan, perpindahan ini akan lengkap dalam tempoh 72 jam (esok) sekiranya ujian perubatan berjalan lancar,” kata Plettenberg.
United telah bersetuju dengan permintaan Leipzig yang mahukan dana tunai sebanyak €85 juta (RM419 juta) secara keseluruhan dengan kontrak selama lima tahun. – AGENSI