MANCHESTER – Manchester United terus berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini selepas mengesahkan pembelian penyerang antarabangsa Slovenia, Benjamin Sesko dengan nilai perpindahan keseluruhan mencecah £74 juta (RM452.4 juta).
Pemain berusia 22 tahun yang memiliki reputasi gah bersama Red Bull Leipzig pada musim lalu dijangka melengkapkan rombakan barisan serangan The Red Devils pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Sesko menjadi pembelian besar ketiga di skuad kendalian Ruben Amorim selepas menandatangani Matheus Cunha daripada Wolverhampton dan Bryan Mbeumo (Brentford) baru-baru ini.
Sesko mengakui sejarah hebat antara punca utama keputusan untuk berkelana ke Old Trafford meskipun dapat tawaran daripada kelab-kelab utama Eropah yang lain.
“Sejarah Manchester United cukup istimewa, tetapi masa depan kelab ini yang menarik perhatian saya dengan projek jangka panjang dalam usaha memburu trofi utama tidak lama lagi,” kata Sesko. – AGENSI