KUALA LUMPUR – Doa buat saudara Islam di Gaza, Palestin diaminkan di Dataran Merdeka di sini selepas solat fardhu Maghrib berjemaah besar-besaran hari ini.
Solat berjemaah besar-besaran itu dianjurkan bersempena Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza bagi menyatakan solidariti membantah kekejaman Zionis.
Perarakan itu bermula pada pukul 5.30 petang dari tiga lokasi utama sekitar pusat bandar di Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan kompleks beli-belah Sogo.
Rata-rata peserta membawa sepanduk dan kain rentang memaparkan mesej ‘Bebaskan Palestin’ dan menggesa Israel dikenakan tindakan perundangan antarabangsa susulan genosid yang dilakukan di Gaza.
Kawalan keselamatan di sekitar Dataran Merdeka turut diperketat dengan kehadiran pihak polis dan puluhan anggota Unit Amal Pas yang memantau secara berterusan dari awal perarakan sehingga peserta tiba di lokasi utama.
Program anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) yang akan berakhir jam 11 malam ini akan menampilkan persembahan kumpulan nasyid Far East, Rabbani, persembahan anak Palestin dan ucapan daripada beberapa tokoh masyarakat sivil.
Pengarah Himpunan H4G, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, solat hajat juga akan didirikan secara berjemaah selepas solat Maghrib, diikuti beberapa pengisian mengecam tindakan Israel.
“Ucapan penutup akan disampaikan oleh tokoh daripada Kesatuan Ulama Palestin yang diterbangkan khas ke Malaysia.
“Serta tayangan rakaman ucapan oleh Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Dr Ali Al-Qaradaghi, rabbi Yahudi dari New York, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza dan lain-lain,” ujarnya.
Jelasnya, himpunan itu mengangkat tema kemanusiaan sebagai asas penyatuan semua pihak melangkaui agama, politik dan bangsa bagi menyokong usaha mendaulatkan tanah Palestin.- KOSMO! ONLINE