ZURICH – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele mengetuai senarai 30 pemain bagi merebut anugerah Ballon d’Or 2025 yang akan diumumkan pada malam gala Ballon d’Or di Paris, Perancis 22 September depan.
Pemain Perancis berkenaan dianggap sebagai calon pilihan untuk merangkul gelaran paling berprestij itu selepas mempamerkan aksi cukup baik dengan meledak 35 gol dalam 53 penampilan di semua pertandingan.
Hasil sumbangan yang diberikan, Dembele berjaya membantu skuad kendalian Luis Enrique itu merangkul gelaran quadruple selepas memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Ligue 1, Piala Perancis dan Trofi Juara-Juara Perancis.
Bagaimanapun, impiannya untuk memenangi Ballon d’Or tidak mudah kerana perlu bersaing dengan bintang Barcelona berusia 18 tahun, Lamine Yamal yang turut memiliki peluang merangkul anugerah tersebut.
Sebagai rekod, Yamal menjaringkan 18 gol dalam 55 penampilan musim ini selain membantu The Catalans memenangi gelaran trebel domestik, termasuk kejuaraan La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.
Mengisi tiga lagi kedudukan dalam kelompok lima teratas Ballon d’Or adalah pemain sayap Barcelona, Raphinha serta penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma dan bintang Liverpool, Mohamed Salah.
Turut mengiringi Dembele dan Donnarumma dalam senarai tersebut adalah tujuh lagi pemain PSG, iaitu Desire Doue, Achraf Hakimi, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes, Joao Neves, Fabian Ruiz dan Vitinha.
Selain Salah, antara pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) lain yang turut tersenarai adalah Virgil Van Dijk, Alexis Mac Allister, Cole Palmer, Declan Rice, Erling Haaland, Viktor Gyokeres dan Florian Wirtz.
Sementara itu, dua pemenang terbanyak anugerah Ballon d’Or, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo bagaimanapun tidak tersenarai dalam kelompok 30 teratas bagi edisi kali ini. – AGENSI