KUALA TERENGGANU – Yayasan Terengganu (YT) kesal dengan insiden buli melibatkan enam pelajar tingkatan empat yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah agama kendalian agensi tersebut pada akhir bulan lalu.
Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya sedang menunggu siasatan polis sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap enam pelajar yang sedang ditahan reman polis tersebut.
“Kita tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis. Hasil siasatan akan menentukan tindakan terhadap semua pelajar terbabit.
“Ia termasuk tindakan buang sekolah atau gantung sekolah, ” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seramai enam pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan terkenal di Kemaman direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes memukul dan membuli seorang pelajar ‘junior’ di dalam bilik asrama sekolah itu pada akhir bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kesemua pelajar tingkatan empat itu didakwa telah memukul dan membuli seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun pada pukul 1.30 pagi, 30 Julai lalu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Farhan berkata, pengurusan di semua sekolah kendalian YT telah diarahkan memperketat pemantauan di asrama pelajar lelaki dan perempuan.
Beliau berkata, ia termasuk rondaan di kawasan asrama sekolah yang lebih kerap terutama pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE