MUNICH – Bayern Munich dilapor telah membuat pertanyaan awal berhubung potensi perpindahan penyerang Chelsea, Nicolas Jackson.
Menurut laporan, juara Bundesliga itu mahu mendapatkan maklumat mengenai status semasa Jackson di Stamford Bridge termasuk harga dan syarat yang diperlukan untuk merealisasikan perpindahan.
Newcastle United turut mengekalkan minat terhadap penyerang antarabangsa Senegal itu selepas gagal mendapatkan Hugo Ekitike dan Benjamin Sesko pada jendela perpindahan kali ini.
Belum jelas sama ada Bayern melihat Jackson sebagai pengganti jangka panjang kepada Harry Kane atau sekadar alternatif kepada Nick Woltemade, namun yuran perpindahan dijangka tinggi.
Musim panas ini menjadi tempoh yang sukar buat Bayern selepas gagal membawa masuk dua sasaran utama, Florian Wirtz dan Nico Williams, sebelum akhirnya berjaya mendapatkan Luis Diaz bagi posisi sayap kiri.
Usaha mendapatkan Woltemade juga berdepan cabaran apabila Stuttgart terus berkeras tidak mahu melepaskannya.
Jackson, 24, menyertai Chelsea dari Villarreal pada musim panas 2023 dan setakat ini telah menjaringkan 30 gol dalam 81 penampilan bersama kelab London itu dalam semua pertandingan.
Sekiranya Bayern meneruskan minat, kelab Bavaria itu perlu bergerak pantas memandangkan minat Newcastle kekal tinggi terhadap Jackson menjelang penutup jendela perpindahan. – AGENSI