KUALA SELANGOR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengakui banyak kes kematian dan kemalangan melibatkan pekerja asing tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Ir. Mohd. Hatta Zakaria berkata, pihaknya menerima sebanyak 549 aduan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja sehingga Jun lalu.
“Pada bulan ini, kita melihat banyak kematian pekerja asing termasuk kes jatuh dan kemalangan lain.
“Semua kes kemalangan di tempat kerja wajib dilaporkan kepada JKKP bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada Karnival Kerja Selamat dan Sihat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa majikan atau pihak terlibat jika berlaku pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
“Ada kes kematian yang disorok dan tidak dilaporkan, namun JKKP akan turun menyiasat jika menerima aduan.
“Aduan menerusi telefon dan media sosial itu akan disiasat dalam tempoh tiga hari mengikut piagam perkhidmatan,” ujarnya.
Ditanya perkembangan insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights, kata Mohd. Hatta berkata, tiada tindakan pendakwaan dibuat setakat ini.
“JKKP telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan itu mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
“Hasil siasatan juga telah dibentangkan kepada Unit Bencana Negeri sebelum 30 Jun lalu dengan penglibatan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. – KOSMO! ONLINE