JAKARTA – Seorang pemandu yang juga penjual sayur di Bantaeng, wilayah Sulawesi Selatan didakwa ditampar oleh seorang anggota tentera Indonesia kerana mengibar bendera One Piece atau lanun pada trak pikapnya, lapor portal Detikcom hari ini,
Susulan kejadian itu, keluarga mangsa telah membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Kejadian berlaku Khamis lalu dan abang mangsa, Dandy Thoriq menjelaskan bahawa adiknya ialah seorang penjual sayur.
“Pada hari kejadian, sebelum masuk ke terminal, tiba-tiba datang seorang anggota tentera menghalang pikap adik saya, kemudian merakam gambar nombor plat kenderaan, bendera anime (bendera lanun), adik saya, ipar dan anak saudara saya,” jelasnya.
Dalam kejadian itu, askar itu bertanya mengenai bendera lanun yang terdapat pada kenderaan mangsa.
Ketika mangsa menjawab, suspek didakwa terus menamparnya.
Dandy berkata, askar itu bertanya tentang kewarganegaraannya sambil menampar adiknya.
“Memang adik saya itu peminat One Piece (bendera) sejak lama,” katanya.
“Kami sudah membuat laporan. Pelaku minta damai, tapi kami belum setuju dan belum tandatangan surat perdamaian.
“Kalau pun kami berdamai, pelaku mesti membuat video penjelasan permohonan maaf kepada keluarga saya dan masyarakat,” ujarnya. – AGENSI