fbpx
Penguat kuasa KPDN memeriksa peralatan yang digunakan bagi menyeludup diesel di sebuah bengkel di Kampung Kepayang, Ipoh hari ini. - Foto IHSAN KPDN

1,220 liter minyak diesel diseleweng pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Sebanyak 1,220 liter minyak diesel disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam satu serbuan di sebuah bengkel di Kampung Kepayang di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pukul 6.10 petang itu susulan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Ipoh.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan minyak diesel pada harga murah sekitar RM1.80 seliter daripada pemandu-pemandu lori tidak amanah, yang telah mencuri minyak diesel milik syarikat tempat mereka bekerja.

“Minyak tersebut kemudiannya dijual kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga sekitar RM2.40 seliter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 1,220 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki-tangki Intermediate Bulk Container (IBC) di atas dua buah lori.

“Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 1,220 liter, dua buah lori dan tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM132,446.80,” katanya.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI