KOTA BHARU – Seramai 100 saintis terkemuka negara akan turun padang melawat sekolah dalam usaha memupuk dan menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang sains.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua saintis itu dipilih oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dari universiti, syarikat dan pusat penyelidikan.
Menurutnya, ia merupakan langkah untuk memberi semangat kepada anak-anak mengenai bidang yang terlibat bagi menjadi seorang saintis.
“Usaha pihak MOSTI itu juga memberi galakan kepada pelajar mengenai apa yang perlu dipelajari untuk menjadi saintis.
“Mereka juga memberi galakan agar pelajar fokus kepada subjek Matematik dan Sains untuk mengejar cita-cita dalam bidang tersebut,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Anwar berkata, setakat ini, seramai 130 pelajar dari 11 buah sekolah di Kelantan mengikuti program Malaysian Bioeconomic Development Corporation dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan.
Katanya, ini merupakan program yang baik untuk melatih anak-anak dalam memberi pendedahan kepada bidang saintis.
“Semalam saya melawat institusi pondok dan hari ini MOSTI memberi pendedahan mengenai program Malaysian Bioeconomic Development Corporation.
“Ini merupakan contoh yang kita lakukan untuk mengikat kesedaran dalam bidang sains tanpa melupakan aspek agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE