Saya lebih gemar memburu ikan toman, namun adakalanya saya masih mahukan game pancing dan spesies ikan yang berlainan. Boleh dikatakan selama bertahun-tahun banyak sudah lombong-lombong di sekitar Rawang dan Serendah Selangor ini telah saya selongkari, baik secara menebing mahupun menggunakan bot, demi mencari secebis strike daripada ikan-ikan idaman.
Pelbagai teknik pancingan daripada pancingan dasar dan mengilat gewang telah saya praktikkan dan kali ini saya menunda gewang menggunakan bot atau lebih popular digelar trolling.
Hari kejadian
Nasib baik, sahabat saya, Suhaimi sudi menemani, jadi memudahkan kerja-kerja menaikkan bot ke kereta dan menurunkannya nanti di pinggir lombong.
Seperti biasa, kami sampai awal pagi lagi di lokasi. Cuaca pagi itu sungguh cantik berawan rendah, permukaan lombong juga lenang dan boleh kelihatan riak-riak ikan belida naik mengambil nafas.
Lombong ini sebenarnya memang dihuni populasi ikan belida yang banyak. Sudah bertahun, rakan-rakan saya memancing belida di sini, baik dengan menggunakan umpan perimpin mahupun mengilat atau menunda gewang.
Sebelum memulakan sesi pancingan kami tinjau terlebih dahulu lokasi-lokasi yang belida naik ke permukaan air. Ini amat penting kerana kami perlu menetapkan laluan bot nanti, jadi tidaklah kami membawa bot dengan sia-sia ke sana ke sini tidak melalui kawasan serangannya (strike zone).
Struktur kubu belida
Saya dapati kebanyakan belida itu naik lebih kurang antara lima hingga tujuh meter dari tebing. Ini berkemungkinan kawasan tersebut ialah cerunan atau drop-off antara tempat cetek dan dalam.
Sebagai ikan pemangsa, pasti ikan belida juga perlukan struktur untuk ia bersembunyi sebelum menyergap mangsanya. Kebiasaannya bekas lombong-lombong bijih ini kurang bereba, jadi cerunan merupakan satu struktur terbaik untuk menjadi kubunya.

Setelah memastikan laluan bot yang terbaik, barulah set pancing di pasang. Saya menyediakan tiga set pancing dengan joran berkekuatan 6-12, 7-14 dan 8-16 paun (lb). Ketiga-tiga joran dipadankan dengan kekili baitcaster saiz 150/151 yang telah diisi tali utama braid antara 10 hingga 20lb. Untuk perambut pula saya gunakan leader fluorocarbon antara 15 hingga 20lb.
Set pancing tidak perlu kelas berat, untuk belida memadai kelas ringan atau sederhana ringan sahaja. Paling penting tip atau hujung joran perlu sedikit lembut, tidak terlalu keras atau kejung supaya gewang yang ditunda dapat bergelek dengan lebih cantik di samping ia dapat menyerap sergapan belida supaya mata kail tertancap dengan kemas tanpa ia dapat membuang gewang dari mulutnya.
Gewang pilihan
Gewang pilihan untuk ditunda merupakan gewang-gewang selaman dalam (crankbait) yang mampu menyelam sehingga empat meter. Pilihan terbaik saya yang berprofil bulat gemuk dengan saiz sederhana antara lima hingga enam sentimeter (sm). Kesemua mata tiga gewang saya tukar kepada Mustad Jaw Lock 3X.
Selain itu, kami juga menyediakan gewang soft plastic dengan ekor jenis pendayung (paddle tail) dipasang pada jighead antara lima hingga 10 gram (g). Gewang soft plastic ini sebagai alternatif kepada gewang selaman dalam jika belida tidak berapa mesra kepadanya.
Kami menggunakan enjin elektrik (thruster) untuk menunda secara senyap, ini kerana jika menggunakan enjin sangkut yang menggunakan petrol, bunyi bising yang terbit daripada enjin itu dikhuatiri bakal menakutkan ikan belida.
Kelajuan menunda pula saya setkan antara peringkat satu hingga tiga sahaja, terlalu laju takut aksi gelekan gewang menjadi tidak cantik. Tambahan pula, ikan belida bukannya spesies pemecut, jika gewang melepasi strike zone dengan terlalu pantas, pasti ia tidak sempat mengejarnya.
Jarak gewang ditunda dengan belakang bot antara 10 hingga 30 meter, lebih dari jarak itu saya berpendapat akan menyukarkan merasa cuitan ikan belida terhadap gewang kerana berkurangnya sensitiviti di hujung joran.
Joran perlu sentiasa dipegang di tangan bukannya dimasukkan di rod holder supaya dapat terus merasa sergapan ikan ke gewang.
Kami bermula dengan melakukan beberapa pusingan untuk menguji kedalaman air, mana-mana kawasan yang bibir gewang menyodok dasar bermakna kawasan itu adalah cetek dan perlu dielakkan.
Selain itu, kami turut menguji gaya renangan setiap gewang kerana ia berbeza disebabkan bentuk bibirnya yang berlainan antara satu sama lain.
Oleh itu, ia perlu diselaraskan supaya kedua-dua gewang selaman dalam yang digunakan akan berenang dengan ritma yang sama dalam satu kelajuan tundaan sama. Jadi, tidaklah satu berenang cantik dan satu lagi terhuyung-hayang tidak tentu hala.

Apabila semuanya selesai barulah sesi tundaan sebenar dimulakan, beberapa kali pusingan, gewang kami dicuit beberapa kali, tetapi tidak lekat. Namun, inilah yang dimahukan kerana ini bermakna ikan belida di dalam lombong ini sedang aktif dan mahukan makanan yang menyerupai gewang yang kami gunakan.
Dari situlah kelajuan tundaan akan ditetapkan dan jenis gewang yang berjaya membuatkan belida tergoda awal tadi akan digunakan terus, cuma ia akan ditukar-tukar kepada warna yang lain dari semasa ke semasa.
Belida pertama
Tidak lama kemudian, Suhaimi kena solid hook-up. Joran terus disentap dan terus hujung joran (rod tip) dihulur ke bawah, bukannya dipam ke atas. Ini bagi mengelakkan ikan belida melompat keluar dari air dan memuntahkan semula gewang.
Perlahan-lahan ikan dibawa ke tepi bot dan berjaya ditangguk. Memang betul-betul lapar kerana habis keseluruhan gewang ditelannya. Ikan belida itu kami lepaskan semula.
Tundaaan diteruskan, suasana lombong semakin kuat berangin hingga menghasilkan ombak-ombak kecil di permukaan air. Dalam percubaan terakhir tengah hari itu gewang saya disergap akhirnya.
Ikan dilayan dengan cermat kerana saya hanya menggunakan tali utama 10lb dan perambut berkekuatan 15lb.
Secara perlahan-lahan ikan berjaya ditangguk dari belakang kerana ini juga merupakan kelebihan yang menjadi kelemahan ikan belida apabila terkena pancing iaitu berenang secara mengundur.
Angin semakin kuat dan kami tamatkan sesi pancingan awal, tidak jadi masalah kerana lokasi berhampiran rumah saya sahaja dan bila-bila ada masa lapang lain saya boleh turun lagi di sini.














