fbpx
Muhammad Mustafa (tengah) menunjukkan jersi baharu Penang FC bagi saingan Liga Super 2025/2026 di Kopa Arena USM, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Penang FC tampil rekaan jersi ‘camouflage pixel’, seiring generasi digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Penang FC hari ini memperkenalkan jersi baharu pasukan secara rasmi dengan mengetengahkan rekaan ‘camouflage pixel’ bagi saingan Liga Super 2025/2026 yang akan membuka tirainya, esok.

Pengurus Kaki Jersi Wilayah Utara, Muhammad Mustafa Al-Bakri Arifin berkata, rekaan corak baharu itu diinspirasikan dari dunia digital masa kini dengan mengabungkan warna identiti negeri Pulau Pinang iaitu biru, kuning dan putih.

Menurutnya, rekaan jersi baharu Penang FC kali ini adalah cetusan idea daripada Pengerusi Penang FC sendiri iaitu Daniel Gooi Zi Sen dengan kerjasama Kaki Jersi, anak syarikat Kumpulan Kopa.

“Kita inspirasikan corak rekaan jersi ini dari dunia digital masa kini. Dari blok atau petak kecil permainan ke generasi muda, yang membina alam mereka sendiri.

“Biasanya, corak ‘camouflage pixel’ membayangkan kita tentang tentera. Tapi, kini kita memperbaharuinya daripada camouflage digital.

“Ini adalah satu simbol kesatuan dalam dunia, yang dibentuk oleh kreativiti, kepelbagaian dan identiti untuk negeri Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Jersi Baharu Penang FC di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia, hari ini.

Jelas beliau lagi, pihaknya mengambil masa lima hingga enam bulan untuk mencipta idea pada rekaan jersi baharu skuad yang mendapat jolokan Harimau Kumbang itu.

“Buat permulaan, sebanyak 1,200 helai jersi sedia untuk dijual. Kita buat pelancaran jersi ini pada hari Rabu dan Khamis lalu dan sudah mula jual secara dalam talian.

“Alhamdulillah…setakat hari ini, hampir 500 helai telah terjual dan kita hanya jual jersi yang dikategorikan sebagai ‘player issue’ pada harga RM139 sehelai,” ujarnya.

Selain menggunakan jersi tersebut sebagai ‘home jersey’ atau jersi tuan rumah, Penang FC juga akan menggunakan jersi dengan gabungan warna biru gelap dan hitam sebagai jersi kedua atau ‘away jersey’.

Dalam pada itu, beritahu Muhammad Mustafa lagi, pihaknya percaya pemilihan material yang berkualiti lebih menyukarkan cubaan pihak luar untuk menciplak rekaan asli jersi keluaran Kaki Jersi

“Kita ada buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) sendiri dan kita juga ada bincang dengan para pereka untuk menghasilkan rekaan jersi ini. Jadi, material yang digunakan itu memang main perananlah,” ujarnya.

Tambahnya, jersi baharu Penang FC kini boleh didapati secara dalam talian menerusi laman sesawang kakijersi.com, platform perniagaan digital seperti TikTok atau Shopee selain dijual di Kopa Arena USM.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI