fbpx
Nik Maliki menunjukkan gambar keadaan rumahnya selepas terbakar dalam kejadian di Pantai Dalam, hari ini.

Keris RM25,000 hangus terbakar di Pantai Dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Koleksi keris antik mencecah RM25,000 antara barangan yang musnah dalam kebakaran membabitkan 14 rumah setinggan di Pantai Dalam, di sini, semalam.

Mangsa, Nik Maliki Nik Him, 41, berkata, dia menyedari kejadian tersebut semasa berada di Cheras selepas dihubungi rakan kira-kira pukul 11.30 malam.

Menurutnya, dia terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila barangan elektrik, wang tunai serta koleksi keris antiknya terbakar.

“Saya ada dalam 150 bilah keris yang jadi koleksi sejak kecil. Ada yang harga RM3,000 dan paling mahal dalam RM25,000, semuanya rosak. Barang-barang ini sukar hendak cari semula.

“Semasa kejadian tiada penghuni di rumah, mujur ibu saya telah pulang ke kampung di Kelantan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Wan Mazlan Wan Majid, 45, meluahkan rasa syukur apabila terselamat dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik selepas pulang daripada kerja.

“Semasa berehat dan hampir terlelap, tiba-tiba rakan rumah jerit beritahu ada api. Awalnya ingatkan macam pintas elektrik.

“Mujur saya tak kunci pintu bilik saya, kalau tak memang tak dengar kawan panggil,” ujarnya.

Katanya, ketika kejadian, dia hanya hanya sempat mengambil beberapa barang peribadi seperti kad pengenalan dan telefon bimbit sebelum api menjadi lebih marak.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu menyebabkan kerosakan membabitkan 15 unit rumah dan kedai.

“Mangsa terdiri daripada 66 tempatan dan lapan warga asing termasuk kanak-kanak, bayi dan warga emas,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 11.11 malam.

Kebakaran terbabit memusnahkan 14 rumah setinggan sebelum merebak ke empat buah premis kedai berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN