ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor FC 3-0 pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Harimau Selatan menjulang trofi tersebut buat lapan musim berturut-turut sejak 2018.
Beraksi di laman sendiri, JDT hanya mengambil masa 59 saat untuk memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Jairo Da Silva yang menyudahkan umpanan cantik Jonathan Silva bagi meletakkan pasukan di hadapan.
Penjaga gol Gergasi Merah, Kalamullah Al Hafiz akhirnya tewas buat kali kedua setelah sepakan sudut Arif Aiman berjaya disambut pemain bek tengah, Eddy Israfilov yang melompat tinggi menanduk masuk bola menerjah gawang lawan pada minit ke-63.
10 minit berselang, Arif Aiman berjaya melebarkan kedudukan buat JDT apabila gerakan solonya yang melepasi kawalan Kevin Deeromram sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut sukar bagi menewaskan Kalamullah Al Hafiz.
JDT terus mengasak skuad Gergasi Merah bagi menambah derita buat pasukan pelawat itu namun tiada pertambahan gol berjaya dihasilkan dan keputusan 3-0 kekal ke wisel penamat.- KOSMO! ONLINE