PETALING JAYA – Hampir seluruh negara dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, amaran ribut petir dikeluarkan susulan cuaca buruk yang dijangka melanda hingga 7 malam nanti.
Katanya, amaran tersebut dikeluarkan bagi seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Amaran sama diberikan kepada negeri Kelantan melibatkan beberapa daerah iaitu di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
“Selain itu, turut diramal mengalami cuaca buruk ialah daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu, Terengganu,” katanya.
Katanya, hujan lebat serta angin kencang itu turut dijangka melanda daerah Bentong, Pahang.
“Di Sarawak, amaran tersebut dikeluarkan bagi kawasan Kuching, Serian, Samarahan (Samarahan dan Simunjan), Sri Aman, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu dan Limbang.
“Sementara di Sabah, amaran sama dikenakan bagi kawasan daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Nabawan), Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan),” katanya. – KOSMO! ONLINE














