fbpx
Rusdi (kanan) menunjukkan antara kad ATM dan barangan yang dirampas dalam serbuan di seluruh negara pada sidang akhbar, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

71 keldai akaun along, sindiket penipuan kecundang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menahan 71 individu disyaki ‘keldai akaun’ yang menjalankan kegiatan pengeluaran wang oleh sindiket penipuan.

Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, penahanan tersebut dibuat menerusi 59 serbuan di seluruh negara dari 29 hingga 31 Julai lalu.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti kawasan dan tempat pengeluaran wang menggunakan kad kad mesin juruwang automatik (ATM) milik keldai akaun.

“Sebanyak 24 serbuan dijalankan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (11), Sabah (8), Perak (5), Pahang (4), Selangor (3) serta dua lagi masing-masing di Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Siasatan yang dijalankan mendedahkan kesemua individu ditahan terlibat dengan sindiket penipuan melibatkan ‘phone scam’, pinjaman tidak wujud, along dan pengurup wang tanpa lesen,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, serbuan tersebut berjaya merampas sejumlah 925 kad ATM pelbagai bank, wang tunai berjumlah RM392,266, 100 telefon bimbit serta 32 sim kad.

Turut dirampas, 55 dokumen berkaitan butiran peminjam, salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain dua buku cek kosong dan lima buah kereta jenis Honda City, Toyota Vios, Perodua Myvi, Perodua Axia dan Perodua Viva.

Mengulas lanjut, katanya, tangkapan terdiri daripada 55 lelaki dan lapan wanita tempatan termasuk lapan lelaki warga asing membabitkan empat warga Bangladesh serta seorang warga China, Nigeria, Myanmar dan Indonsia.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun.

“Setakat ini 16 daripada 71 individu yang ditahan telah dituduh di mahkamah di mana enam pertuduhan dibuat di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 manakala 10 lagi mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan.

“Baki 55 individu telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan sedang dilengkapkan,” ujarnya.

Tambahnya, Kes disiasat di bawah Seksyen 420 (menipu), Seksyen 424 (menyembunyikan harta), Seksyen 424A (pemilikan instrument pembayaran), Seksyen 511 dan Seksyen 5(2) Kanun Keseksaan kerana menjalankan akiviti pinjaman tanpa lesen.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15A(1)(b) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (menyimpan kad ATM orang lain) dan Seksyen 29AA Akta Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI