fbpx
JAHAYA (gambar kecil) maut akibat dirempuh sebuah kereta di Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil di Baling, pagi tadi.

Warga emas maut dirempuh kereta ketika mahu ke masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang lelaki warga emas maut dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Masjid Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil, di sini kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Anak tiri mangsa, Abdul Rashid Mohd Nayan, 36, berkata, bapa tirinya itu, Jahaya Khamis, 63, terlibat kemalangan ketika sedang menunggang motosikal Modenas Kriss seorang diri menuju ke masjid terletak berhampiran rumah.

“Setiap hari, rutin harian ayah yang merupakan bendahari masjid akan solat berjemaah di masjid tersebut yang tidak sampai 500 meter dari rumah untuk solat subuh berjemaah.

“Sekitar pukul 6.30 pagi tadi saya dapat tahu ayah kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kali terakhir saya menemui ayah dua hari lepas,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia difahamkan pemandu dan penumpang kereta berkenaan telah melarikan diri dan meninggalkan kereta tersebut di tempat kejadian.

“Saya berharap polis dapat menangkap mereka yang melanggar ayah secepat mungkin dan membawanya ke muka pengadilan serta menerima hukuman yang setimpal,” jelasnya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil petang tadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI