SHAH ALAM – Empat pemandu kereta termasuk seorang wanita warga asing terpaksa pulang menaiki e-hailing selepas kenderaan mewah mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) malam tadi.
Penyitaan itu dibuat selepas cukai jalan kenderaan mereka tamat tempoh dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan (JPJ) Selangor hampir lima jam bermula 8.30 malam.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati salah seorang daripada mereka merupakan warga China berusia 41 tahun.
Wanita tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Jalil dengan memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz dengan cukai jalan yang tamat tempoh sejak setahun lalu.
Dia yang memasuki negara ini sejak tahun lalu dan berkahwin dengan lelaki tempatan juga didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun yang turut melakukan kesalahan sama memaklumkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dibawanya baharu dibeli sejak tiga bulan lalu.
Katanya, MPV mewah itu dibeli abangnya dengan cara sambungan bayaran pinjaman kenderaan daripada pemilik asalnya.
“Kami telah maklumkan sebelum ini supaya pemilik asal memperbaharui cukai jalan tersebut. Namun dia (pemilik asal) memberikan alasan tidak boleh melakukannya disebabkan terdapat saman,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan memaklumkan sebanyak 16,735 kesalahan dikesan tidak mempunyai lesen memandu bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
“Daripada jumlah, didapati pemandu kenderaan berat merekodkan jumlah tertinggi dengan 7,116 selain penunggang motosikal (6,596), kereta (2,576) dan perkhidmatan awam (447).
“Bagi tempoh sama juga menunjukkan 25,338 kesalahan cukai jalan” katanya. – KOSMO! ONLINE