fbpx
FADHLINA (Gambar kiri) telah mengarahkan IPG membantu Muhd. Alif Najmi selain berharap pelajar cemerlang STPM itu cekal berjuang dan mengubah nasib keluarga apabila bergelar seorang guru kelak.

‘Tak sangka dibantu secepat ini selepas keluar KOSMO!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – “Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana sudi membaca kisah saya. Saya benar-benar tak sangka ada pihak yang begitu prihatin dan bertindak (dibantu) secepat ini.”

Demikian luah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, Muhd. Alif Najmi Muhd. Nor Faizal, 20, ketika mengucapkan terima kasih kepada Fadhlina atas keprihatinan serta bantuan segera yang diberikan bagi membolehkan beliau melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya tidak sangka kisah kesusahan keluarga yang disiarkan Kosmo! semalam akan mendapat perhatian secara langsung daripada Menteri Pendidikan sendiri yang kemudian mengambil tindakan pantas membantu.

“Dengan bantuan ini, saya lebih bersemangat untuk memulakan pengajian dan mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, di Putrajaya, Fadhlina yang prihatin dengan masalah kewangan dihadapi Muhd. Alif Najmi dalam membuat persediaan melanjutkan pengajian di IPG mengarahkan agar bantuan segera disalurkan kepada pelajar itu.

Menurut Fadhlina, pihaknya akan membantu segala persiapan bagi membolehkan pelajar itu dapat mendaftar dan memulakan pengajian di IPG.

“Pagi ini (semalam) saya membaca berita yang disiarkan oleh Kosmo! berkenaan masalah kewangan yang dihadapi oleh anakanda Muhd. Alif Najmi dalam persediaan beliau untuk melanjutkan pengajian di IPG.

“Janji saya begini. Usah gusar anakanda. Saya telah arahkan pihak IPG untuk segera menghubungi anakanda dan memberikan bantuan. Insya-Allah, segala persiapan akan kami bantu bagi memastikan anakanda dapat mendaftar dan memulakan pe­ngajian,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Selain itu, Fadhlina juga berharap agar Muhd. Alif terus cekal berjuang dan mengubah nasib keluarga apabila bergelar seorang guru kelak.

“Apa yang saya harapkan ha­nyalah supaya anakanda cekal berjuang, belajar bersungguh-sungguh dan bertekad untuk mengubah nasib keluarga.

“Apabila sampai waktunya bergelar guru nanti, curahkan ilmu sepenuh jiwa raga untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan luahan seorang pelajar cemerlang STPM 2024, Muhd. Alif Najmi, 20, yang berdepan dilema apabila hasrat menyambung pengajian ke IPG mengalami ­kesukaran akibat kekangan kewangan keluarga.

Dia yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67 dalam peperiksaan STPM baru- baru ini ditawarkan ke sebuah IPG di selatan tanah air, namun keluarganya tidak mampu menyediakan kelengkapan untuknya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI