SHAH ALAM – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki 205 pasport antarabangsa, bulan lalu.
Tertuduh, N. Paarvathy, 41, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Paarvathy didakwa memiliki 205 pasport antarabangsa Malaysia tanpa kuasa yang sah dan dituduh di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.
Wanita itu juga didakwa memiliki satu Mykad palsu atas nama seorang lelaki berusia 24 tahun serta memiliki empat MyKad individu lain tanpa alasan munasabah.
Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di Pangsapuri Seri Pulai, Puchong kira-kira pukul 12.10 tengah malam pada 11 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Peguam M. Yogamani merayu mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan susulan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan bulanan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan berserta seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan 22 September depan. – KOSMO! ONLINE