PARIS – Pasukan Tottenham Hotspur memiliki kelebihan awal selepas menjalani persiapan pramusim lebih rapi sebelum mengharungi saingan pembuka tirai, Piala Super Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 14 Ogos depan.
Pandangan itu disuarakan oleh pengendali Spurs, Thomas Frank selepas melihat pasukannya sudah cukup ‘panas’ untuk memberi tentangan yang sengit kepada PSG yang mendominasi saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.
Kata Frank, tiada misi lain yang diberikan kepada pasukan selain daripada memburu kemenangan sekali gus mencipta kejutan ke atas skuad PSG yang dianggap sebagai pilihan utama untuk bergelar juara nanti serta menjulang trofi kedua.
“Saya rasa kita hanya memburu satu keputusan positif iaitu menang. Jika tidak berjaya, kita akan belajar daripada kekalahan tersebut.
“Ini adalah medan terbaik buat kedua-dua pasukan yang hebat untuk bertarung pada kejohanan kompetitif pertama musim ini,” katanya.
Sementara itu, situasi berbeza dihadapi oleh PSG apabila masih belum menjalani latihan pramusim selepas skuad utama hanya dikumpulkan secara rasmi semalam.
Difahamkan, skuad PSG sepatutnya mula melaporkan diri pada Isnin lepas tetapi ditangguhkan kerana beberapa pemain utama masih belum dapat terbang ke Paris ekoran cuaca buruk.
Sebelum ini, Enrique telah beri cuti selama tiga minggu buat pasukan susulan tewas dalam aksi final Piala Dunia Kelab kepada Chelsea pada 13 Julai lepas. – AGENSI