fbpx
Azam (kiri) dan Mohd. Shuhaily (kanan) ketika bertemu di Ibu Pejabat SPRM, hari ini. -Foto SPRM

SPRM, AKPS sedia jalin kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) khususnya aspek operasi serta latihan membabitkan pegawai agensi berkenaan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Azam berkata, AKPS merupakan sebuah agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara.

Justeru itu, Azam berkata, pihaknya bersedia memberikan bantuan sepenuhnya dalam memastikan matlamat bersama dicapai.

“SPRM memberi sokongan dan komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama dengan AKPS dalam usaha meningkatkan tahap integriti serta usaha mencegah jenayah rasuah berlaku di pintu sempadan negara.

“Ini amat penting kerana AKPS sebuah agensi yang memainkan peranan dalam memastikan keselamatan pintu sempadan sentiasa terkawal demi keselamatan negara.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata, pihaknya sedar terdapat beberapa isu melibatkan AKPS sememangnya berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar.

“Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar,” ujarnya.

Azam turut mencadangkan agar satu bentuk insentif diperkenalkan kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan sebagai dorongan dan motivasi untuk menjalankan tugas dengan lebih bersemangat serta berintegriti tinggi.

“SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin
semangat dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, pertemuan ini menjadi platform penting kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan operasi, pencegahan rasuah serta usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan negara.

“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh lagi sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI