fbpx
Gambar hiasan

Semikonduktor, tenaga hijau jadi pemacu utama Belanjawan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tiga sektor strategik melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam dikenalpasti sebagai pemacu utama dalam Belanjawan Madani Keempat tahun 2026.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketiga-tiga sektor itu akan terus disokong dalam usaha meningkatkan daya saing negara.

“Dalam meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi akan terus disokong, terutamanya melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam.

“Saya yakin wakil industri ramai yang hadir hari ini dapat mengemukakan cadangan bernas,” katanya ketika berucap pada pembukaan Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Menurut beliau yang juga menjalankan tugas Menteri Ekonomi, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan sulung yang mendokong matlamat Rancangan Malaysia ke-13.

“Langkah-langkah yang dirancang akan terus menaikkan siling dan lantai berteraskan tatakelola baik dalam pentadbiran,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan terus dipimpin dengan prinsip tatakelola baik termasuk dalam soal mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan.

“Soal bagaimana kerajaan boleh memantapkan lagi perkhidmatan bagi mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan memerlukan cadangan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir, ” katanya.

Amir Hamzah dalam pada itu turut mengalu-alukan penglibatan aktif daripada semua pihak dalam memberikan maklum balas sebagai asas penting kepada penyediaan Belanjawan 2026.

Difahamkan, Belanjawan 2026 bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan pada sesi Mesyuarat Ketiga Parlimen Kelima Belas 2025. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI