PETALING JAYA – Malaysia terus teguh sebagai destinasi pelancongan apabila berjaya menarik kira-kira 25 juta pelancong pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut melonjak sebanyak 24.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar 20.1 juta pelancong.
Jelasnya, sektor pelancongan domestik turut merekodkan pertumbuhan ketara iaitu 21.7 peratus untuk mencatatkan 260.1 juta pelawat berbanding 213.7 juta pelawat pada tahun 2023.
“Selangor merupakan negeri yang paling ramai dikunjungi pelawat domestik, menarik 34.5 juta orang, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak masing-masing menerima 27 juta pelawat.
“Sementara itu, pelancong domestik turut menunjukkan peningkatan 17.5 peratus untuk mencatatkan 93.4 juta pelancong berbanding 79.6 juta pelancong pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, Perak muncul sebagai destinasi pelancongan yang popular pada tahun 2024 dengan kedatangan pelancong sebanyak 10.2 juta.
“Ia diikuti Selangor (9.6 juta), Pahang (9.53 juta), Johor (9.48 juta) dan Kedah (6.9 juta).
“Pertumbuhan ketara sektor pelancongan domestik Malaysia turut mendorong jumlah perbelanjaan pelawat domestik yang meningkat 25.7 peratus, mencecah RM106.7 bilion berbanding RM84.9 bilion pada tahun 2023,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan itu turut memberi impak positif kepada sektor berorientasikan pelancongan, khususnya di Selangor, Johor dan W.P. Kuala Lumpur.
Ia sekali gus katanya mendorong pertumbuhan sektor Perkhidmatan negeri ini mengatasi paras nasional, 5.3 peratus. – KOSMO! ONLINE