PETALING JAYA – Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Persekutuan Russia adalah bagi mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama antara dua negara.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia menganggap Russia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan penting.
“Lawatan Negara ini mencerminkan hasrat ikhlas saya untuk mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama kita semua. Bak kata pepatah Russia, persahabatan lebih berharga daripada wang.
“Di atas semangat persahabatan inilah saya percaya, kita akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara untuk kepentingan rakyat bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Pendahuluan pada pertemuan rasmi bersama Presiden Persekutuan Russia, Tuan Yang Terutama, Vladimir V Putin di Kremlin Moscow semalam.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda, bertitah bahawa Malaysia adalah antara negara ASEAN terawal menjalin hubungan dengan Moscow.
Sementara itu, laman Facebook Sultan Ibrahim juga tmberkongsi beberapa keping gambar ketibaan Seri Paduka Baginda serta sesi bertemu Presiden Russia itu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Russia dari 5 hingga 10 Ogos atas jemputan Presiden Putin.
Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Russia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.-KOSMO! ONLINE