fbpx
Chow Kon Yeow

Pulau Pinang raih pelaburan RM191.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM191.4 bilion bagi sektor pembuatan dalam tempoh lima tahun sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelaburan yang direkodkan dari tahun 2020 hingga suku pertama 2025, sekali gus menjadikan negeri itu antara destinasi utama pelabur dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini, kita turut berjaya mewujudkan sebanyak 79,498 peluang pekerjaan hasil daripada pelaburan yang diluluskan.

“Pulau Pinang terus muncul sebagai hab pelaburan yang kukuh, terutamanya dalam sektor semikonduktor serta elektrikal dan elektronik (E&E) yang terus berkembang pesat pasca-pandemik,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, walaupun pihaknya tidak mempunyai data khusus mengenai bilangan rakyat dari negeri lain yang datang mencari kerja di Pulau Pinang, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima kedatangan mereka.

“Kita mengalu-alukan semua warganegara Malaysia tanpa mengira negeri asal untuk mencari rezeki di Pulau Pinang. Pendirian kita jelas kita bukan negeri yang eksklusif, sebaliknya ekonomi kita terbuka dan inklusif.

“Selain peluang pekerjaan, pelbagai inisiatif turut ditawarkan termasuk perumahan mampu milik seperti Rumah Bakat Madani dan latihan kemahiran menerusi Penang Skills Development Centre (PSDC),” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif Penang Silicon Design Park, beliau berkata, kawasan seluas lima kilometer persegi itu kini dibuka kepada syarikat pemula (start-up) dan pemain industri yang berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital dan reka bentuk semikonduktor negara.

“Pulau Pinang mahu kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap industri global yang pantas berubah.

“Kita yakin momentum ini akan terus diperkukuhkan dengan dasar yang menyokong inovasi dan pelaburan berkualiti tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI