PEMAIN veteran Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa bertekad untuk memastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah tidak terlepas daripada dakapan JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor FC, malam esok.
Bagaimanapun, Natxo berkata ia bukanlah tugas yang mudah memandangkan Gergasi Merah merupakan seteru utama Harimau Selatan yang cuba mengintai peluang untuk mencuri trofi tersebut.
Katanya, keseluruhan skuad JDT sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih setelah melalui perlawanan pramusim yang memberangsangkan di Sepanyol bulan lalu.
“Kami menjangkakan perlawanan ini satu pertembungan yang sengit, namun adalah penting buat kami untuk pertahankan trofi tersebut, ia sudah menjadi kelaziman buat JDT.
“Kita akui Selangor nampak berbeza pada musim ini dengan kehadiran beberapa pemain import, namun itu tidak menjejaskan perancangan ampuh ketua jurulatih, Xisco Munoz.
“Kami akan fokus pada persembahan pasukan dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang berlaku di atas padang. Apa yang penting, mentaliti pemain perlu kuat untuk menjayakan misi mengekalkan Piala Sumbangsih di Johor,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.
Sebagai pemain tertua dalam pasukan, Insa yang berusia 39 tahun menuntut rakan sepasukan memberi tumpuan 100 peratus sepanjang aksi 90 minit permainan bagi mempamer kekuatan sebenar Harimau Selatan.
Katanya, dia sendiri masih dahagakan kemenangan dan akan mencurahkan segalanya bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT dalam membantu pasukan meraih kemenangan.
“Dengan kemasukan ramai pemain import yang baharu, semua pemain perlu meningkatkan tahap permainan masing-masing bagi membolehkan pasukan meraih keputusan yang positif setiap perlawanan.
“Jadi, untuk memenangi semua kejuaraan yang ditandingi, kita perlu ada mentaliti yang kuat dan beraksi dengan konsisten,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE