ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat koperal maut akibat dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenis Lexus dinaiki sekumpulan penjenayah di Taman Golf, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang mengalami kecederaan pada kepala dan anggota badan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa bersama seorang pegawai dan tiga lagi anggota pergi ke rumah tersebut dengan menaiki dua kereta untuk melakukan pemeriksaan susulan maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di situ.
Katanya, kesemua pegawai dan anggota terbabit adalah dari Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
“Sebaik tiba di hadapan rumah tersebut, anggota terbabit yang baru keluar dari tempat pemandu kereta terus dirempuh sebelum digilis SUV dinaiki penjenayah dalam cubaan untuk melarikan diri.
“Semasa kejadian, empat suspek lelaki dikatakan mahu mengangkat peti besi yang dicuri dari rumah itu ke dalam SUV yang diletakkan di pekarangan rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, seorang suspek berjaya ditahan tidak jauh dari rumah itu, manakala tiga lagi yang sempat meloloskan diri bertindak meninggalkan SUV Lexus di pekarangan sebuah hotel di Titi Gajah, di sini dan melarikan SUV jenis Toyota.
“Suspek bertindak menolak pemandu SUV itu dan melarikan kenderan berkenaan bersama seorang wanita warga emas. Kenderaan dinaiki mereka itu bagaimanapun terlibat kemalangan di kawasan Kepala Batas sebelum tiga suspek cuba melarikan diri.
“Seorang suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam, manakala dua lagi berjaya dicekup polis tidak lama kemudian,” ujarnya.
Wanita warga emas terbabit yang tidak mengalami kecederaan dibawa keluar dari SUV itu oleh orang ramai dan peniaga yang berada di kawasan berhampiran.
Sementara itu, katanya, beliau telah menziarahi jenazah yang akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
“Arwah berasal dari Setiu, Terengganu, telah berkahwin dan mempunyai tiga anak lelaki yang masih kecil berusia empat, sembilan dan 11 tahun. Arwah telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 15 tahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE