MANILA – Operasi menyelamat seorang pelajar yang cedera dalam kemalangan jalan raya bertukar tragedi berganda apabila mangsa dirempuh sebuah motosikal ketika berbaring di atas pengusung, beberapa saat sebelum dia dibawa menaiki ambulans.
Saluran radio Filipina, Bombo Radyo melaporkan, insiden berlaku di Lebuh Raya Nasional di Sitio Pinantao, Bandar Kidapawan pada malam Sabtu lalu.
Rakaman video kejadian memaparkan beberapa anggota kecemasan memberi bantuan kepada mangsa, Froilan Panagsagan ketika dia berbaring di atas pengusung yang diletakkan di atas jalan.
Sebilangan individu turut berada di situ sambil memerhatikan operasi menyelamat dilakukan.
Sejurus sebelum mangsa diangkat masuk ke dalam ambulans, sebuah motosikal meluru dalam keadaan laju lalu menggilis mangsa.
Seorang anggota kecemasan turut dirempuh, namun dia berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan.
Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Suspek yang dikenali sebagai Carlos Guabong Jr., telah ditahan pihak berkuasa.
Beberapa saksi berkata, suspek berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.
Menurut keluarga mangsa, dia merupakan pelajar kriminologi yang akan memulakan latihan praktikal tidak lama lagi. – AGENSI