fbpx
MUHYIDDIN, ANWAR

Muhyiddin mahu Anwar mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf kepadanya.

Ia ekoran dakwaan Perdana Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Kata Muhyiddin, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tidak memohon maaf.

“Mungkin sebagai sahabat, beliau juga manusia biasa, cuma jawatan beliau lebih tinggi. Saya pun pernah berada di situ dulu. Mungkin dah berlaku kesilapan, jadi agak susah untuk Perdana Menteri nak kata “Muhyiddin, maaflah, salah”

“Saya cuma nak minta mohon maaf saja. Tarik balik kenyataan. Saya rela dan akan terima maafnya,” katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Pagoh mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Pejabat Perdana Menteri dipetik berkata, sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung perkara berkenaan memandangkan dakwaan itu dinafikan Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Anwar ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bahawa beliau mempertahankan warga asing berhubung isu subsidi petrol RON95.

Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI